EKSPO Pelaburan dan Pasaran Saham Malaysia (MISEE) 2015 dijangka boleh menarik syarikat daripada negara luar untuk melabur di dalam syarikat awam tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MISEE Events Sdn Bhd, Norizam Tukiman berkata, penganjuran ekspo yang akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur itu akan menghimpunkan semua pelaburan diiktiraf kerajaan, selain syarikat pelaburan, pemain pelaburan serta pelabur baharu.
“Kebanyakan masyarakat Islam kini sudah mula melihat pentingnya melabur sebagai salah satu alternatif untuk menjana pendapatan.
.
.
“Namun, mungkin sesetengah daripada mereka kurang maklumat mengenai pelaburan patuh syariah.
“Jadi, penganjuran MISEE kali ini akan memfokuskan kepada kepentingan dan pendedahan lebih tepat dan jelas kepada masyarakat mengenai pelaburan saham yang berlandaskan syariah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bursa Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
.
.
Menurutnya, ekspo tersebut dianjurkan Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM) dengan kerjasama Bursa Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Iskandar Malaysia (DPI).
Katanya, terdapat pelbagai program sepanjang tiga hari ekspo tersebut untuk memberi pendedahan kepada masyarakat dan pelbagai pelabur mengenai pelaburan patuh syariah.
“Di antara program yang kita akan anjurkan adalah forum pelaburan Islamik yang akan dibentangkan beberapa ahli panel terkemuka seperti Dr Zaharuddin Abd Rahman, Dr Fathul Bari Jahaya dan Faryzan Subkhi.
“Selain itu, kita juga menganjurkan Debat Saham untuk pelajar universiti bagi memupuk minat mereka menyertai bidang pelaburan dan pasaran saham,” katanya.
Norizam mensasarkan kira-kira 40,000 pengunjung yang akan hadir ke ekspo berkenaan yang akan berlangsung pada 20 November ini

Tiada ulasan:
Catat Ulasan